JAKARTA, KOMPASSINDO.COM, 14 Jun 2025 – Ketech Asia Sdn Bhd, syarikat pengeluar peluru amunisi dari Malaysia yang membawa jenama KETECH ASIA AMMUNITION, secara rasmi membuat penampilan sulung sebagai peserta pameran di acara pertahanan serantau berprestij, Indo Defence 2025 Expo & Forum, yang berlangsung dari 11 hingga 14 Jun 2025 di JIExpo Kemayoran, Jakarta.
Beribu pejabat di Star Central Corporate Park, Cyberjaya, Selangor, dan beroperasi sepenuhnya di kilang pengeluaran utama yang terletak di Lipis, Pahang, KETECH ASIA diterajui oleh Mohd Nahar Mohd Nasir sebagai CEO. Sejak ditubuhkan pada tahun 2009 dan mula aktif secara komersial pada 2015, syarikat ini semakin diiktiraf dalam industri pertahanan serantau.
Produk Utama dan Kapasiti Pengeluaran
KETECH ASIA mengkhusus dalam pengeluaran peluru amunisi berkaliber 9mm, 5.56mm, 7.62mm dan 12mm, yang sesuai untuk kegunaan ketenteraan dan awam. Dengan kapasiti pengeluaran bernilai kira-kira 60 juta butir peluru setahun untuk satu kaliber, jumlah keseluruhan pengeluaran tahunan syarikat mencecah antara 120 juta hingga 200 juta butir peluru.
Selain membekalkan pasaran tempatan di Malaysia, KETECH ASIA turut menerima permintaan dari pelbagai negara termasuk Afrika, New Zealand, Amerika Syarikat, dan terkini dari Mongolia — menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap mutu produk amunisi buatan Malaysia.
Misi Strategik di Indo Defence 2025
Menurut Rahayu Bahaudin, selaku Pengarah Projek, penyertaan KETECH ASIA dalam Indo Defence 2025 merupakan langkah penting untuk memperluaskan rangkaian serantau dan global.
“Kami berterima kasih kerana diberi peluang menyertai pameran ini. Kami melihat pertumbuhan industri pertahanan Indonesia sangat memberangsangkan dan berpotensi tinggi untuk kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia. Ini adalah platform terbaik untuk kami tampilkan inovasi dan kemampuan kami di pentas Asia-Pasifik,” jelasnya.
Tambah beliau, matlamat utama penyertaan ini adalah:
- Memperkenalkan keupayaan industri pertahanan Malaysia kepada pasaran serantau dan global.
- Menjalin kerjasama serta mencari sumber bahan mentah dari negara-negara sekitar.
“Kami juga sedang mencari rakan bekalan bahan mentah bagi menyokong pengeluaran yang lebih kompetitif dan mampan di masa hadapan,” ujar Rahayu.
Rekod Antarabangsa dan Komitmen Masa Hadapan
Pada tahun ini, KETECH ASIA telah menyertai pelbagai ekspo antarabangsa termasuk Enforce Tac Nuremberg, Germany (Februari 2025) dan Defence & Security Exhibition, Thailand (Bangkok, 2025). Penyertaan sulung dalam Indo Defence 2025 ini menandakan komitmen syarikat untuk terus mengukuhkan kehadiran global, sambil membina kerjasama strategik di rantau ini.