JAKARTA, KOMPASSINDO.COM – Indo Defence 2025 Expo and Forum secara rasmi membuka tirainya pada hari Rabu, 11 Jun 2025, bertempat di JIExpo Kemayoran, Jakarta Pusat. Acara berskala antarabangsa ini berlangsung sehingga 14 Jun dan mengangkat tema “Defense Partnership for Global Peace and Stability”. Seramai 13 Menteri Pertahanan dari pelbagai negara hadir, bersama penyertaan dari 55 negara, 32 paviliun negara, serta lebih daripada 1,180 syarikat pertahanan dari dalam dan luar negara.

Salah satu peserta pameran dari Malaysia yang menarik perhatian ialah OPENAPPS SDN. BHD., sebuah syarikat teknologi yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Dalam acara ini, OPENAPPS memperkenalkan produk unggulan mereka, ARMO Comms, iaitu satu platform Integrated Communications Suite yang dibangunkan khusus bagi menyokong pengoperasian komunikasi selamat (secured communication).

Dalam sesi temu bual bersama media, Saihani Idaffie Bin Saidin, Ketua Bahagian Aplikasi & Integrasi Sistem OPENAPPS SDN. BHD., berkongsi mengenai penyelesaian teknologi secured communication yang dibangunkan oleh syarikat tersebut.

ARMO Comms merupakan satu platform Integrated Communications Suite yang kami bangunkan untuk menyokong pengoperasian secured communication. Melalui satu aplikasi menyeluruh, kami integrasikan pelbagai fungsi penting seperti panggilan video, komunikasi pesanan segera, serta sistem pengurusan data secara masa nyata yang direka untuk meningkatkan kecekapan antara sektor awam dan swasta menggunakan rangkaian radio taktikal,” ujar Saihani.

Beliau turut menerangkan bahawa aplikasi ini membolehkan pengguna untuk berinteraksi secara efektif, termasuk melakukan suntingan kandungan dan komunikasi langsung dalam satu sistem yang holistik. Solusi ini menyasarkan jabatan kerajaan, agensi keselamatan, dan juga entiti swasta yang terlibat dalam pembangunan komunikasi.

Tambah beliau lagi, ARMO Comms menekankan ciri-ciri keselamatan data, kawalan akses yang terurus, serta kebolehan untuk disesuaikan mengikut keperluan operasi lapangan.

Penyertaan OPENAPPS dalam Indo Defence 2024 merupakan kali kedua syarikat itu menyertai pameran pertahanan di Indonesia. “Kami pernah menyertai pameran di Jiexpo Kemayoran Jakarta sebelum ini, namun Indo Defence kali ini jauh lebih besar dan lebih tersusun, dengan kehadiran pengunjung yang sangat memberangsangkan. Ia memberi peluang besar untuk memperluas jaringan dan kerjasama,” jelas Saihani.

OPENAPPS menyasarkan untuk menjalin lebih banyak kerjasama strategik dan membuka ruang kepada peluang perniagaan baharu, khususnya dalam bidang teknologi komunikasi pertahanan dan keselamatan serantau.

Mengenai Indo Defence 2025 Expo & Forum
Indo Defence Expo & Forum ialah pameran dan forum pertahanan dwitahunan terbesar di Asia Tenggara, dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Republik Indonesia. Acara ini menjadi platform strategik untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam bidang pertahanan, mempamerkan teknologi terkini, serta mempertemukan penggiat industri dari seluruh dunia.

By Admin

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *